Tuesday 12 June 2012

BAHAGIA

Siapa yang tidak mahukan bahagia, bohong juga kalau saya katakan saya juga sentiasa dilingkungi kebahagiaan. Dalam konteks bahagia, umum memahami bahawa bahagia itu ialah bila seseorang itu beroleh kejayaan dalam hidup, punyai kekayaan, punyai kekuasaan, suami atau isteri yang tampan atau cantik, ringkasnya tidak pernah merasai atau mengalami apa itu kesusahan. Bagi saya, semuanya itu bukan menjadi keutamaan, walaupun kekadang hati membisikkan bilalah aku boleh jadi kaya macam sipolan dan sipolan, dan bila kaya, aku ingin membelanjakannya ke jalan yang boleh membawa aku ke syurga.. ah..angan-angan orang yang tidak memiliki kekayaan.

Menurut Imam Al-Ghazali, puncak segala kebahagiaan pada manusia adalah bila kita berhasil mencapai ma'rifatullah", iaitu mengenal Allah SWT. Selanjutnya, al-Ghazali menyatakan:
"Ketahuilah bahagia itu ialah tiap-tiap sesuatu bila kita merasakan nikmat, kesenangan dan kelazatannya menurut perasaan masing-masing. Maka kelazatan mata ialah melihat rupa yang indah, kenikmatan telinga mendengar suara yang merdu, demikian pula segala anggota yang lain dan tubuh manusia.
Bagimanakah pula dengan mengenal Allah itu boleh melahirkan rasa bahagia?
Ada pun kelazatan hati ialah dengan mengenal Allah, kerana hati dijadikan tidak lain untuk mengingat Tuhan. Seorang rakyat jelata akan sangat gembira kalau dia dapat herkenalan dengan pemimpin yang disanjungnya. Seorang kekasih akan merasai cukup bahagia bila bertemu dengan pasangannya. Begitu juga dengan kita, maka tentu saja bila berkenalan dengan Allah, itulah puncak dari segala macam kegembiraan. Lebih dari apa yang dapat dibayangkan oleh manusia, sebab tidak ada yang lebih tinggi dari kemuliaan Allah. Dan oleh sebab itu tidak ada ma'rifat yang lebih lazat daripada ma'rifatullah.

Cuba kita renung sedalam-dalam tentang diri kita, lihat saja jari jemari yang masih setia menjalankan tugasnya, mengetik keyboard meluahkan apa yang terhasrat, menyua makanan kemulut bagi menyambung sisa-sisa kehidupan, mata yang masih bisa menikmati keindahan alam semesta ciptaan Allah, telinga yang masih berfungsi untuk mendengar, kaki yang aktif menelusuri jalan-jalan kehidupan. Aduh.. nikmat Allah yang mana hendak kita dustakan. Bandingkan dengan insan lain yang tidak diberi nikmat seperti kita tetapi lebih menghargai Sang Penciptanya berbanding diri kita, andai ditarik semua nikmat yang Allah pinjamkan kepada kita, masih bisakah kita meneruskan kehidupan ini? Tentu sekali tidak, tetapi ramai dikalangan kita lupa atas segala nikmat yang Allah berikan. kita alpa dalam tipu daya dan muslihat dunia yang fana ini. Kita tenggelam dengan ujian kekayaan dan nikmat dunia yang sementara ini. Lupakah kita, bahawa ada dunia lain selepas kematian nanti.

Seandainya kita manusia yang sentiasa bersyukur, sudah pasti kita sentiasa berusaha kearah kebaikan, balasilah nikmat yang Allah berikan kepada kita dengan menjalankan semua syariatNYA. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment