Tuesday 12 June 2012

Syukurilah nikmat Allah..

Lamanya jari jemari ni direhatkan, tak tahulah kenapa. Nak katakan sibuk, takda lah sibuk mana. Kata orang idea untuk menulis ni akan datang mencurah-curah tatkala seseorang tu jiwanya gundah gulana atau sebaliknya. Macam kisah Zainuddin watak utama dalam novel agung karangan HAMKA..tenggelamnya kapal Van Der Wick, mula-mula aku baca buku ni, masa aku sekolah menengah lagi, ceritanya syahdu dan menyedihkan, berkali-kali aku mengulangi membacanya sampai buku lusuh, sampai aku berangan semoga aku ditemukan suami macam Zainuddin tu, kesian  betul. Alhamdulillah aku ditemukan jodoh dengan suamiku tersayang, walaupun tak macam Zainuddin tapi peminat novel tu jugak.

Diringkaskan cerita, kekasih hati Zainuddin tu namanya Hayati anak orang kaya, cantik dan bersopan santun tetapi cinta mereka mendapat tentangan yang hebat dari kedua orang tua Hayati, orang dulu-dulu bukan macam  budak-budak sekarang, dijodohkan dengan orang setaraf tapi bukan orang dicinta sepenuh hati. Akhirnya Zainuddin membawa diri dengan jiwa yang remuk redam dihinakan oleh keluarga kekasih hatinya. Sehinggalah beliau menjadi penulis terkenal dengan menggunakan nama pena Syabir dan kisahnya diceritakan dalam karya-karyanya. Moral ceritanya ialah, penulisan ni bukan bakat semata-mata tetapi disumbangkan juga jalinan cerita suka duka seseorang sehingga terciptanya sebuah karya yang dikagumi ramai. Aku nak cari balik buku tu, nak refresh balik, sekurang-kurang dapat menjana semula kemesraan kami suami isteri..

Keberuntungannya, nasib aku taklah macam si Hayati tu, ditemukan jodoh dengan suamiku sekarang, almaklum, jodoh sama taraf, sekufu dan alhamdulillah tak da tsunami yang melanda rumahtangga kami, setakat ribut kecil-kecil tu biasalah, asam garam kehidupan berumahtangga. Mungkin suamiku itu tak kurang machonya  kerana ada juga dikaitkan dengan bunga-bunga yang berada disekitarnya, sebagai seorang isteri, aku kena ambil sikap berhati-hati, lebih-lebih lagi hidup di tengah bandaraya ni, awal-awal perkahwinan memang aku tak nafikan, aku lebih bersikap agresif bila berhadapan dengam ujian sebegini. Tetapi sekarang, aku harus lebih matang menghadapi segala ujian, jangan hanya ujian yang sedikit, sampai nak musnahkan rumahtangga yang telah dibina sekian lama, buat apa kan..aku seharusnya lebih menghargai insan yang bernama suami, mungkin kesibukan ku sebagai wanita berkerjaya sedikit sebanyak mengurangkan perhatianku kepadanya.

Buah-buah cinta kami, lima orang puteri dan seorang putera menceriakan kehidupan berumahtangga kami, susah senang kami harungi bersama, mereka seboleh-bolehnya dididik dalam suasana yang Islami, aku tak mahu, mereka dilalaikan dengan suasana yang serba mencabar di Kuala Lumpur ini. Alhamdulillah setakat ini, anak-anak kami benar-benar menyenangkan hati kami dan  yang paling penting mereka  tidak lupa tanggungjawab kepada  Allah Pencipta alam semesta. Aku pasti, tanpa kerjasama yang padu kami suami isteri dan doa yang berterusan dari kedua ibubapa dan mertua kami, kejayaan melayari rumahtangga dalam suasana harmoni, membesarkan anak-anak sehingga berjaya walaupun dalam kemampuan ekonomi yang begitu sederhana.. Kami seharusnya bersyukur di atas segala nikmat yang kau berikan ya Allah. Ameen.

No comments:

Post a Comment