Sunday 15 July 2012

Catatan Hari Minggu

Ma..ma..aku dikejutkan oleh panggilan dari Izzah, aku membuka mataku dengan malas..ya, ada apa?, soalku.. " Ma jadi tak nak ke KLCC ni, dah pukul 9 pagi dah ni."

"Ya Allah Izzah, pukul 9 rupanya ", sambil mengeliat aku memegang belakangku, sakit pula rasanya. Sebenarnya aku dah bangun 6.30 pagi tadi mengejutkan kakak, izzah dan amad untuk solat subuh. Setelah memastikan mereka bangun aku saja-saja membaringkan kembali tubuhku, tak sangka pulak lena sampai kesiang, maklumlah hari minggu dan aku pula ada pelepasan tidak solat. Suami pula tiada disisi, aku lantas bangun untuk membersihkan diri untuk memulakan tugas harian hari ini. Maaf kakak, ma gagal memnuhi janji ma untuk menemanimu ke KLCC. Tak larat rasanaya badan. Si bujang Amad dan Izzah bila aku tak pergi..mereka pun sama malas nak menemani kakak mereka, walhal malam tadi beria-ia sangat nak pergi. Begitulah kelemahan kita memang sentiasa gagal menepati janji. Harap-harap kakak berjaya dalam misinya untuk menjelajahi pameran ICT di KLCC hanya untuk mencari pendrive Qila.

Banyak program yang bermanfaat di sekitar Kuala Lumpur sebenarnya, suami tak ada ni..kurang bersemangat pula. Walaupun karnival IKIM hanya sepelaung jauhnya, hati teringin nak pergi tapi kemalasan mengatasi segalanya. Telaga Biru juga mengadakan hari terbuka juga, tetapi hanya tersusun dalam jadual mindaku dan ianya berlalu begitu saja.

Aku keruang depan..Amad sedang menonton TV sambil memakan biskut. Lapar nampaknya. Aku kedapur untuk menyediakan apa yang boleh dijadikan sarapan. Nasi masih ada..apa lagi gorenglah berlaukkan telor mata kerbau. Dua dalam satu, sarapan dan makan tengahari.

"Amad, Izzah, jom makanan dah siap", teriakku. Izzah masih tekun berkemas diruang depan dan amad masih leka dengan program kartunnya tanpa menghiraukan panggilanku. Tak apalah, perut aku pun berkeroncong minta diisi, aku layan dulu seleraku dengan nasi goreng dan teh tarik.

"Amad, Izzah,lepas makan nanti jangan lupa buang sampah, baju sidai, koridor kemas..", arahku. Aku pula selesai makan, mengemaskan buku-buku yang bersepah, menyisihkan yang mana perlu dibuang atau tidak. Rupanya banyak barang-barang yang tidak diperlukan masih lagi disimpan. Hari minggu ni lah, aku perlu mengemas serba sedikit, walaupun aku tahu kekemasannya tidak kekal lama, macam ada anak kecil saja.

Tanpa disedari, jam dah menunjukkan ke pukul dua petang, mengerah amad dan izzah untuk mandi dan solat. Aku pula mengeluarkan ayam dari peti ais untuk persediaan makan malam nanti.

Puhh..penat mengemas rumah. Jengah FB sekejap..release minda.

Tuesday 12 June 2012

BAHAGIA

Siapa yang tidak mahukan bahagia, bohong juga kalau saya katakan saya juga sentiasa dilingkungi kebahagiaan. Dalam konteks bahagia, umum memahami bahawa bahagia itu ialah bila seseorang itu beroleh kejayaan dalam hidup, punyai kekayaan, punyai kekuasaan, suami atau isteri yang tampan atau cantik, ringkasnya tidak pernah merasai atau mengalami apa itu kesusahan. Bagi saya, semuanya itu bukan menjadi keutamaan, walaupun kekadang hati membisikkan bilalah aku boleh jadi kaya macam sipolan dan sipolan, dan bila kaya, aku ingin membelanjakannya ke jalan yang boleh membawa aku ke syurga.. ah..angan-angan orang yang tidak memiliki kekayaan.

Menurut Imam Al-Ghazali, puncak segala kebahagiaan pada manusia adalah bila kita berhasil mencapai ma'rifatullah", iaitu mengenal Allah SWT. Selanjutnya, al-Ghazali menyatakan:
"Ketahuilah bahagia itu ialah tiap-tiap sesuatu bila kita merasakan nikmat, kesenangan dan kelazatannya menurut perasaan masing-masing. Maka kelazatan mata ialah melihat rupa yang indah, kenikmatan telinga mendengar suara yang merdu, demikian pula segala anggota yang lain dan tubuh manusia.
Bagimanakah pula dengan mengenal Allah itu boleh melahirkan rasa bahagia?
Ada pun kelazatan hati ialah dengan mengenal Allah, kerana hati dijadikan tidak lain untuk mengingat Tuhan. Seorang rakyat jelata akan sangat gembira kalau dia dapat herkenalan dengan pemimpin yang disanjungnya. Seorang kekasih akan merasai cukup bahagia bila bertemu dengan pasangannya. Begitu juga dengan kita, maka tentu saja bila berkenalan dengan Allah, itulah puncak dari segala macam kegembiraan. Lebih dari apa yang dapat dibayangkan oleh manusia, sebab tidak ada yang lebih tinggi dari kemuliaan Allah. Dan oleh sebab itu tidak ada ma'rifat yang lebih lazat daripada ma'rifatullah.

Cuba kita renung sedalam-dalam tentang diri kita, lihat saja jari jemari yang masih setia menjalankan tugasnya, mengetik keyboard meluahkan apa yang terhasrat, menyua makanan kemulut bagi menyambung sisa-sisa kehidupan, mata yang masih bisa menikmati keindahan alam semesta ciptaan Allah, telinga yang masih berfungsi untuk mendengar, kaki yang aktif menelusuri jalan-jalan kehidupan. Aduh.. nikmat Allah yang mana hendak kita dustakan. Bandingkan dengan insan lain yang tidak diberi nikmat seperti kita tetapi lebih menghargai Sang Penciptanya berbanding diri kita, andai ditarik semua nikmat yang Allah pinjamkan kepada kita, masih bisakah kita meneruskan kehidupan ini? Tentu sekali tidak, tetapi ramai dikalangan kita lupa atas segala nikmat yang Allah berikan. kita alpa dalam tipu daya dan muslihat dunia yang fana ini. Kita tenggelam dengan ujian kekayaan dan nikmat dunia yang sementara ini. Lupakah kita, bahawa ada dunia lain selepas kematian nanti.

Seandainya kita manusia yang sentiasa bersyukur, sudah pasti kita sentiasa berusaha kearah kebaikan, balasilah nikmat yang Allah berikan kepada kita dengan menjalankan semua syariatNYA. Insyaallah.

Syukurilah nikmat Allah..

Lamanya jari jemari ni direhatkan, tak tahulah kenapa. Nak katakan sibuk, takda lah sibuk mana. Kata orang idea untuk menulis ni akan datang mencurah-curah tatkala seseorang tu jiwanya gundah gulana atau sebaliknya. Macam kisah Zainuddin watak utama dalam novel agung karangan HAMKA..tenggelamnya kapal Van Der Wick, mula-mula aku baca buku ni, masa aku sekolah menengah lagi, ceritanya syahdu dan menyedihkan, berkali-kali aku mengulangi membacanya sampai buku lusuh, sampai aku berangan semoga aku ditemukan suami macam Zainuddin tu, kesian  betul. Alhamdulillah aku ditemukan jodoh dengan suamiku tersayang, walaupun tak macam Zainuddin tapi peminat novel tu jugak.

Diringkaskan cerita, kekasih hati Zainuddin tu namanya Hayati anak orang kaya, cantik dan bersopan santun tetapi cinta mereka mendapat tentangan yang hebat dari kedua orang tua Hayati, orang dulu-dulu bukan macam  budak-budak sekarang, dijodohkan dengan orang setaraf tapi bukan orang dicinta sepenuh hati. Akhirnya Zainuddin membawa diri dengan jiwa yang remuk redam dihinakan oleh keluarga kekasih hatinya. Sehinggalah beliau menjadi penulis terkenal dengan menggunakan nama pena Syabir dan kisahnya diceritakan dalam karya-karyanya. Moral ceritanya ialah, penulisan ni bukan bakat semata-mata tetapi disumbangkan juga jalinan cerita suka duka seseorang sehingga terciptanya sebuah karya yang dikagumi ramai. Aku nak cari balik buku tu, nak refresh balik, sekurang-kurang dapat menjana semula kemesraan kami suami isteri..

Keberuntungannya, nasib aku taklah macam si Hayati tu, ditemukan jodoh dengan suamiku sekarang, almaklum, jodoh sama taraf, sekufu dan alhamdulillah tak da tsunami yang melanda rumahtangga kami, setakat ribut kecil-kecil tu biasalah, asam garam kehidupan berumahtangga. Mungkin suamiku itu tak kurang machonya  kerana ada juga dikaitkan dengan bunga-bunga yang berada disekitarnya, sebagai seorang isteri, aku kena ambil sikap berhati-hati, lebih-lebih lagi hidup di tengah bandaraya ni, awal-awal perkahwinan memang aku tak nafikan, aku lebih bersikap agresif bila berhadapan dengam ujian sebegini. Tetapi sekarang, aku harus lebih matang menghadapi segala ujian, jangan hanya ujian yang sedikit, sampai nak musnahkan rumahtangga yang telah dibina sekian lama, buat apa kan..aku seharusnya lebih menghargai insan yang bernama suami, mungkin kesibukan ku sebagai wanita berkerjaya sedikit sebanyak mengurangkan perhatianku kepadanya.

Buah-buah cinta kami, lima orang puteri dan seorang putera menceriakan kehidupan berumahtangga kami, susah senang kami harungi bersama, mereka seboleh-bolehnya dididik dalam suasana yang Islami, aku tak mahu, mereka dilalaikan dengan suasana yang serba mencabar di Kuala Lumpur ini. Alhamdulillah setakat ini, anak-anak kami benar-benar menyenangkan hati kami dan  yang paling penting mereka  tidak lupa tanggungjawab kepada  Allah Pencipta alam semesta. Aku pasti, tanpa kerjasama yang padu kami suami isteri dan doa yang berterusan dari kedua ibubapa dan mertua kami, kejayaan melayari rumahtangga dalam suasana harmoni, membesarkan anak-anak sehingga berjaya walaupun dalam kemampuan ekonomi yang begitu sederhana.. Kami seharusnya bersyukur di atas segala nikmat yang kau berikan ya Allah. Ameen.

Tuesday 1 May 2012

Cuti..

Cuti lagi, seronoknya. Lari sekejap dari rutin harian. Petang semalam lagi aku dah berpesan pada puteri-puteriku, "Esok hari cuti umum untuk ibu-ibu yang bekerja (buruh), jadi esok ma mahu memastikan kalian mengambil alih tugas-tugas menguruskan rumah tangga khususnya memasak", "Boleh aje ma, jangan bimbang" walaupun aku tahu harapanku memang tidak akan menjadi kenyataan, mendidik anak-anak sekarang memang banyak cabarannya. Kebetulan puteri sulungku pulang bercuti, rumahku agak meriah dengan kehadirannya, gurauan mereka pasti menyenangkan hatiku, itulah peneman aku sepanjang ketiadaan suami tersayang.

6.30 pagi - Aku baru terjaga, lambat dah, rungutku. Izzah, puteri kelimaku, tidak bercuti hari ini, aku segera mengejutkanya untuk solat subuh dan menyiapkan diri untuk kesekolah. Begitu juga dengan anak-anakku yang lain. Hari ni, suamiku pulang, tak sabar menunggu kepulangannya selepas 11 hari pemergiannya. Aku segera membersihkan diri untuk menghadapkan diri kepadaNYA. Seusai solat, ringtone "Maher Zain" dari handphone mengingatkan aku, suamiku  selamat mendarat di KLIA selepas 12 jam diawan biru. Benar agakanku, pesanan dari suamiku, "Abang dah selamat sampai" Hilang rasa bebanan yang mengongkong diri. Aku ke dapur untuk menyediakan sarapan, apa ya hidangan pagi hari ni. Ingatkan puteri-puteriku mengambil alih tugasku, tapi biasalah, kerja-kerja berkemas rumah, membasuh rumah bolehlah diharapkan tetapi memasak tetap menjadi tugasan aku yang utama. Aku pun memahami, mereka terbeban dengan tugasan kuliah mereka terutama puteri sulungku tapi aku mengingatkan janjinya untuk memasak spagheti untuk hidangan tengahari nanti.

7.45 pagi - agak lewat aku untuk menghantar Izzah kesekolah, "Tak apa Izzah, hari ni hari cuti, jalan tak jem, lagipun melalui tol duke, insyaallah sampai jam 8 nanti" pujukku. Sampai ke destinasi, "jangan ambil lambat petang ni ya ma" ujarnya. Dalam perjalanan  pulang, aku singgah dikedai untuk membeli daging kisar sebagai bahan penting untuk membuat spagheti. Sesampainya dirumah, aku berehat sebentar sambil bersarapan, sekejap lagi suamiku pulang, fikirku. Deringan loceng berbunyi, benar telahanku.. senyumku melebar menyambut kepulangannya, lantas tangannya kucium, terlerai sudah rindu yang membelenggu, begitu juga anak-anakku. "Kakak, jangan lupa sebelum balik Kuantan, penuhi janji kakak untuk buat spagheti ya".

12.00 tgh - Aku bersiap untuk menghantar kakak ke perhentian bas Pekeliling untuk menyambung perjuangannya. Semoga kakak beroleh kejayaan yang cemerlang dan menjadi ikutan adik-adikmu kelak, begitulah harapan seorang ibu.

Saturday 28 April 2012

Pesta Buku..Datang Lagi

Menjadi rutin setiap tahun bila menjelangnya pesta buku, aku membawa anak-anakku berkunjung ke PWTC bagi meninjau-ninjau suasana pesta berlangsung. Tahun ni aku tidak menyediakan bajet yang banyak untuk membeli buku, almaklumlah banyak komitmen lain yang perlu diutamakan, buku tahun lepas pun masih tersimpan elok, belum dibaca lagi. Alhamdulillah kesedaran membaca anak-anakku bolehlah dibanggakan, dan yang paling utama mereka tahu memilih bahan bacaan yang sesuai dan bermanfaat. Walaupun jadual seharianku agak padat, tapi aku mesti pastikan kami tidak ketinggalan berkunjung ke pesta berkenaan. Sebelum bergerak aku memasak ala kadar sahaja untuk mengalas perut, kalau bergerak dengan perut kosong nanti, terjejas pulak bajet yang memang terhad. Alhamdulillah jalan tidak sesak, walaupun hari ini adalah perhimpunan BERSIH dan terdapat sekatan polis menuju ke bandar, parking di jalan masuk Sri Puteri, kami berjalan perlahan ke PWTC dengan penuh semangat. Foto PM 5 jenerasi menyambut kami. Kami terus mencari booth telaga biru kerana terbitan buku-bukunya yang agak menarik dan yang pasti aku hendak memiliki karya Prof kamil dan Puan Roza. Yang pentng juga hendak mencari buku untuk ayahanda mengenai Riwayat Rasulullullah.

Kami teruskan pencarian ke booth galeri ilmu, nah disini dihidangkan berbagai-bagai buku yang terkini dan aku rasa nak memiliki semuanya. Mengira-ngira bajet yang sedia ada, aku mengambil buku Prof Kamil dan Puan Roza dan beberapa buku lainnya. Anak-anakku beredar ke booth PTS dan booth sekitarnya untuk membeli buku kegemaran mereka. Kami ketingkat dua dan tiga sekadar meninjau booth2 lain. Selesai membeli, rupa2 pembelian telah melebihi bajet yang telah ditetapkan... buku, buku semoga aku dan anak-anakku cepat menghadamkannya. Perjalanan balik, aku menyaksikan jalan menuju ke PWTC begitu sesak, alhamdulillah kami selamat sampai kerumah akhirnya.

Thursday 26 April 2012

Cerita tentang sabar lagi


Sabar itu adalah salah satu cabang iman yang bukan dikurniakan kepada semua insan ciptaan Allah. Usaha untuk menggapai kesabaran bukan satu usaha yang mudah, berusahalah kita untuk untuk menjadi hamba pilihanNYA.. dan salah satu ciri-ciri hamba pilihanNYA ialah mempunyai sifat sabar. Begitulah aku,  dalam menjalani jadualku sehari-hari, bukan sahaja kerenah anak-anak yang benar-benar menguji tahap kesabaranku, kawan-kawan disekeliling dan suasana masyarakat yang turut menyumbang sejauh mana daya tahan kesabaran kita. Tanpa suami disisi, aku terus menjalani hidupku, mengulangi rutin seharianku.. Bangun pagi, selesai menyiapkan diri, aku mengejutkan putera dan puteriku untuk bersiap-siap untuk ke sekolah, bukan mudah untuk mengejutkan mereka. Tidak cukup dengan suara, menggoyangkan badan mereka belum tentu mereka segera bangun. Jam sudahpun menunjukkan ke angka 6.00 pagi, aku harus memastikan, enjin kereta perlu dihidupkan tepat jam 6.30 pagi, kalau tidak alamatnya lambatlah aku sampai ke pejabat. Bilalah rutin harian ini akan berakhir, wahai suami, cepatlah kau kembali, kurang sikit tekanan aku. Sabar..sabar aku memujuk diri.

Wednesday 25 April 2012

Sabar..

Sabar darling, ungkapan yang menghilangkan sedikit sebanyak beban yang membelenggu diri. Ketiadaan orang tersayang disisi benar-benar merimaskan. Mujur masih ada buah cinta kami buat penghilang sepi dihati. Suamiku, seminggu kau tiada disisi, aku setia menggantikan dirimu menghantar buah cinta kita menuntut ilmu Allah dan insyaallah sedikit sebanyak tentang ilmu kehidupan. Esok, lusa, tulat, langkat aku tak jemu membilang hari, barulah aku tahu peritnya perpisahan itu, wajahmu menyelinap dicelah-celah ingatanku.. Sabar, bisikku. Kau pergi demi menjalankan tugas dan menambah rezeki yang sedia ada, Allah sentiasa bersama-sama hambanya yang bersabar, bersabar dalam menghadapi segala ujian dan cabaran. Baru aku menyedari, dugaan yang aku hadapi adalah amat sedikit berbanding dengan insan-insan lain diluar sana..Ummu Solehah kuatkan iltizam, tingkatkan azam demi memajukan buah-buah cinta kami yang bakal mewarisi generasi gemilang dan bertaqwa. Ameen...